Seni menjaga hati ibu dan ayah...

9:46 PM










"Assalamualaikum..."

"Waalaikumussalam..."

"Tok che'...Da ni..."

"Oh, Da ke...dok mane nih?!" Aku dpt 'sense' keceriaan yg terlahir dr suaranya. Tak sempat aku tanye khabar, dia dulu yg tanye soalan...

"Kat umah Kota Bharu nih..."

"Pastu gak, bile nak mari umah tok che' nye? Marila tdur cni.." Soalnya penuh harapan...

"Em, kejap lagi da sampai ye che'...siap dgn nasi kerabu skali. Che' dah makan blum?"

"Blum lg...tp che' dah nanak (masak nasi) dah..tp kalu ada nasi krabu, bwk marila. Nasi che' nanak tu boleh wak namboh... "

Heheh...aku tersengih sendiri...atokku yg seorg ni mane blh tolak nasi kerabu...feveret dia tu... rindu btul aku dengar suara dia 'speaking' klate...

Kepulanganku dan ayahku menjenguknya walaupun tidak lama tetap menggembirakannya walaupun dia tak sebutkan. Maklumlah dah lama tak balik kelantan...Plg last aku jumpe dia waktu rayer lepas... Cutiku selalunya pendek shj. Jadi cuti kali ini mungkin cuti plg lama setelah aku bergelar medical student...tupun sebulan lebiy shj... Kesempatan masa yang ada perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Kata umiku, ."..dahla kita anak2 dia ni takleh tinggal dgn diorg,nak datang selalu, umah pun jauh...Jd kita kenalah raikan mereka. jangan sampai diorg rasa kita tak ingat kat diorg...umi tak dapat balik tp boleh antar da jd wakil..."

Kita sebagai anak jika tidak tinggal bersama ibu bapa, kita perlu sentiasa menghubungi dan menjenguk mereka... terutamanya apabila mereka telah berusia...tak cukup dengan hanya mengirim wang setiap bulan... Kehadiran si anak itu yang lebih mereka harapkan. Jika tak berkesempatan, hubungi mereka selalu. Teknologi sekarang banyak mempermudahkan.

Marilah kita sama-sama berusaha menjaga hati ibu dan ayah kita. Kita hanya ada satu je ibu dan ayah dalam dunia ni. Jadi sayangi dan hormatilah mereka kerana bila mereka sudah tiada, kita tak boleh cari di kedai untuk beli yang baru.

Tahu apa maknanya "FAMILY"?
FAMILY = (F)ATHER (A)ND (M)OTHER (I) (L)OVE (Y)OU
Hargailah keluarga kita...

15 perkara yang anak boleh lakukan untuk menjaga hati insan yang sangat berjasa.
Bagaimana untuk berhalus dalam menjaga hati ibu bapa?



1. Ibu bapa akan sejuk hati jika cakap mereka ditaati dan diikut. Contoh mudah, kalau anak pandu kereta dan ayahnya duduk di sebelah memberi tunjuk jalan, ayah akan rasa senang jika anak ikut cakapnya walaupun si anak mungkin lebih tahu jalan dari ayahnya. Kalau anak bantah atau berkeras tidak mahu ikut, ayah mungkin sakit hati.



2. Semua orang suka dibahasakan dengan baik. Kalau anak bercakap lunak, tentu ibu bapa senang. Berbanding kalau anak tinggikan suara atau bercakap kasar, ibu bapa mudah tersinggung. Sebab itu Allah sebut dalam al-Quran, hendaklah bercakap kepada ibu bapa “dengan perkataan yang mulia” (Al-Israk: 23).



3. Ibu bapa mana yang tidak suka dan tidak rasa bahagia jika anak sedia berkhidmat dan berbakti. Lebih-lebih lagi bila ibu bapa sudah lanjut usia dan perlu lebih perhatian dan jagaan. Berbakti kepada ibu bapa perlu pada sifat ringan tulang. Dengan ringan tulang kepada mereka, kita dapat jaga hati mereka dan dalam masa yang sama, beroleh keberkatan dalam hidup. “Sesiapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah habuannya dan Allah akan memanjangkan (pula) umurnya.” (Hadis riwayat Abu Ya’la, at-Thabrani, as-Syaibani dan al-Hakim)



4. Raut wajah anak akan beri kesan kepada hati orang tua. Oleh itu cara mudah untuk gembirakan hati mereka ialah selalu senyum, bermanis muka dan pandang mereka dengan penuh kasih sayang. Memandang ibu bapa (dengan kasih sayang), menurut Nabi s.a.w., adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud)



5. Hati ibu bapa terhibur jika anak tahu hormati mereka dan hormati pandangan mereka. Kalaupun ada perkara yang anak tidak setuju, dia masih tunjuk rasa hormat, tidak membangkang. Nabi s.a.w. banyak memberi panduan cara-cara hormat pada ibu bapa. Antaranya, baginda melarang seorang anak berjalan mendahului ibu bapanya atau duduk sebelum ibu bapanya duduk. Baginda juga tekankan perlunya anak membiasakan budaya minta izin pada ibu bapa, seperti minta izin untuk masuk bilik mereka.



6. Pemberian dari ibu bapa jika dihargai, membuat hati mereka senang. Mungkin mereka beri sesuatu pada anak kita (cucunya) lalu kita beritahu anak itu supaya hargai pemberian nenek atau datuknya. Menghargai pemberiannya sama dengan menghargai dirinya.



7. Rasulullah s.a.w. sewaktu dikunjungi ibu susuannya Halimah as-Saadiah, telah membentangkan kain ridaknya untuk diduduki oleh si ibu. Betapa bahagianya si ibu tua diperlakukan begitu. Layanan ‘VIP’ ini tentulah lebih layak diberi pada ibu bapa kandung, lebih-lebih lagi yang sudah lanjut usia. Kalau dia rasa kurang diraikan atau kurang diberi perhatian, dia mudah tersinggung. Ini biasa berlaku bila ibu bapa tengok anaknya melebihkan isteri atau suaminya berbanding ibu bapa sendiri. Apalagi kalau ibu bapa tinggal serumah dengan anak dan menantu.



8. Meraikan ibu bapa juga merangkumi meraikan kenalan atau tetamu mereka. (Malah dalam Islam, selepas ibu bapa tiada pun, seorang anak masih dituntut meraikan kenalan baik arwah ibu bapanya.)



9. Alangkah bahagianya jika ada orang yang peka dengan apa yang kita suka atau tak suka. Lebih-lebih lagi jika kepekaan itu datang dari seorang anak. Anak tahu apa kesukaan ibu bapanya, lalu itulah yang dia buat. Dia tidak buat sesuatu yang dia tahu ibu bapanya tak suka. Dia juga tahu apa makanan kesukaan ibu bapanya, tempat yang ibu bapanya suka pergi dan sebagainya.



10. Jauh di sudut hati, ibu bapa akan rasa bangga jika selalu diminta pandangan dan nasihat. Atau diminta restu dan doa dalam apa-apa keputusan terutama melibatkan soal kahwin, kerjaya, sambung belajar dan lain-lain persoalan besar dalam hidup anak. Tetapi jika anak minta restu, misalnya untuk kahwin, dengan cara mendesak, ini boleh sakiti hati mereka.



11. Kebanyakan ibu bapa ada simpan hasrat terhadap anak – mahu anak berjaya dalam hidup, jadi anak soleh, tahu kenang jasa. Memenuhi hasrat mereka adalah salah satu cara untuk gembirakan mereka. Jika anak tak ambil peduli hasrat dan harapan ibu bapa, hati mereka akan kecewa dan terguris.



12. Untuk membalas sepenuhnya jasa ibu bapa memang tak mungkin, tapi jika anak tahu kenang jasa, ibu bapa akan rasa bahagia. Misalnya jika sudah bekerja, disumbangkan sekian banyak daripada duit gaji kepada ibu bapa. Bila sudah berkeluarga sendiri, sumbangan ini tak pernah putus walaupun mungkin berkurang sedikit. Bila ada duit lebih pula, tak lupa dikirim pada ibu bapa. Ibu bapa sakit, cepat-cepat dia balik jenguk dan usahakan rawatan yang patut. Kalau perlu, dijaganya di hospital atau diminta isterinya tolong jagakan. Dibawanya ibu bapa pergi haji atau umrah jika mampu.



13. Jika sudah tidak tinggal bersama ibu bapa, seorang anak perlu selalu berhubung dan jenguk mereka. Tak cukup hanya kirim duit tiap-tiap bulan atau kirim kad raya ‘pengganti diri’, terutama jika mereka sudah lanjut usia, selalu sakit-sakit atau nyanyuk. Adakalanya bagi si ibu tua, cukuplah kalau dapat rasai belaian tangan anak yang pernah dikandungnya. Atau kalau anak mahu duduk dengar luahan hati, omelan atau ceritanya. Banyak kes hati ibu bapa yang retak sebab tidak begitu diindahkan anak, sakit peningnya tak diambil peduli atau anak sudah jemu dengar omelannya.



14. Anak boleh panjangkan jariah untuk ibu bapa; misalnya bersedekah dengan niatkan pahalanya untuk mereka. Ini tidak semestinya dibuat sewaktu ibu bapa sudah meninggal. Ketika mereka masih ada, mereka tentunya akan terhibur jika tahu yang si anak telah buatkan jariah untuk mereka.



15. Ibu bapa juga mengharap ada anak yang sudi doakan mereka. Kalau memang ada, mereka tentu rasa bahagia dan bangga. Tapi kalau mereka rasa si anak tak pernah doakan mereka, mereka akan pendam rasa. Cukuplah kalau seorang anak itu merasakan dia banyak ‘berhutang’ dengan ibu bapanya untuk membuatkan dia rasa sangat terhutang budi dan rasa patut membalas jasa serta menjaga hati mereka dengan apa jua cara yang dikira wajar. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Anak itu belum dapat lagi membalas (jasa) orang tuanya sehinggalah dia mendapatinya sebagai hamba, lalu dibelinya dan dimerdekakannya.” (Riwayat Muslim dan Abu Daud)



(Koleksi ANIS / Oleh: Zakaria Sungib)












You Might Also Like

0 comments